PENGENALAN

Sejarah Kampung Saman

Pada masa dahulu, kawasan Kampung Saman hanyalah sebuah kawasan terbiar dan lapang yang mana terletak antara dua (2) buah kampung yang wujud terlebih dahulu sebelum Kampung Saman, iaitu Kampung Jembulang dan Kampung Berungis. Kedua-dua kampung ini dihubungkan oleh jalan darat dan jalan air yang merentasi kawasan Kampung Saman. Lama-kelamaan, wujud pertikaian antara kedua kampung tersebut untuk mempertahankan hak untuk mentadbir kawasan tersebut.

Sehingga pada satu tahap di mana kedua-dua kampung yang terlibat, masing-masing mengancam untuk menyaman antara satu sama lain kerana menceroboh kawasan yang kononnya di bawah pentadbiran mereka. Pertikaian kedua-dua kampung ini akhirnya membawa kepada campur  tangan Pihak Berkuasa Tempatan sebagai wakil kerajaan pada masa itu, setelah kedua-dua pihak telah cuba membuat permohonan kepada kerajaan untuk mendapatkan hak untuk mentadbir kawasan terbiar yang menjadi rebutan.

Walaubagaimanapun, pihak kerajaan pada masa itu tetap dengan pendirian awal dengan menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan petempatan penduduk dalam erti kata lain sebagai kawasan tanah rizab kerajaan untuk dipinjamkan sementara kepada penduduk yang tinggal dalam kawasan tersebut pada ketika itu.

Setelah campur tangan kerajaan, tindakan saman-menyaman yang dijadikan senjata kedua-dua pihak yang bertelagah menjadi bualan hangat penduduk sekitar. Sehinggalah pada satu ketika kawasan tersebut menjadi lebih sinonim dengan perkataan “saman” yang mana menjadi satu identity yang dikenang sebagai mengingati peristiwa pertelagahan antara dua (2) buah kampung dalam mendapatkan hak untuk mentadbir kawasan tersebut yang kini dikenali dengan nama “KAMPUNG SAMAN”, yang diiktiraf kewujudannya dengan perlantikan Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK oleh Yang Berhormat Datuk Haji Hajiji Bin Haji Noor iaitu masing-masing pada 13 MAC 2006 dan 1 MEI 2007.



NEGERI
SABAH
KAWASAN PARLIMEN
P170 TUARAN
KAWASAN DUN
N10 SULAMAN
DAERAH
TUARAN
MUKIM
BERUNGIS / PANTAI


Bandar terdekat

Kampung Saman merupakan sebuah kampung yang terletak dalam daerah Tuaran di negeri Sabah iaitu kira-kira lapan (8) hingga sepuluh (10) minit perjalanan ke Pekan Tuaran & Pekan Tamparuli. Anggaran jarak bandar lain yang terdekat ialah Telipok (10 km), Menggatal (14 km), Inanam (17 km), Penampang (24 km) dan Bandaraya Kota Kinabalu (30 km).

Latar Belakang Penduduk

Kampung Saman mempunyai seramai lebih lima ratus (500) orang penduduk sehingga tahun 2011 yang kesemuanya adalah berbangsa Bajau dan beragama Islam. 

Latar Belakang Ekonomi Penduduk

Secara kasar, sebanyak tujuh puluh peratus (70 %) penduduk kampung bekerja dan berkhidmat dalam sektor kerajaan manakala selebihnya adalah mereka yang bekerja sendiri, pekerja kilang dan sektor swasta.

Latar Belakang Pendidikan Penduduk

Kebanyakan anak-anak penduduk mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Berungis Tuaran yang terletak kira-kira dua kilometer (2 km) dari Kampung Saman.Seterusnya di peringkat sekolah menengah pula, sekolah-sekolah yang menjadi pilihan ialah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan Badin Tuaran, Sekolah Menengah St. John, Tuaran dan terbaru ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Inanam, Kota Kinabalu.